Jumaat, 14 November
Janganlah menghias diri kamu dengan apa yang dapat dilihat oleh orang lain.—1 Ptr. 3:3.
Sikap munasabah membantu kita hormat pandangan orang lain. Misalnya, sesetengah saudari suka bersolek, tetapi yang lain tidak. Ada orang Kristian yang menikmati sedikit alkohol, tetapi ada juga yang langsung tidak meminumnya. Semua orang Kristian mahu kesihatan yang baik, tetapi memilih cara berbeza untuk menjaga kesihatan. Jika kita mendesak orang untuk menerima pandangan kita, kita mungkin membuat mereka tersandung dan menimbulkan perpecahan. (1 Kor. 8:9; 10:23, 24) Yehuwa memberi kita prinsip Bible, dan bukannya banyak perintah tentang pakaian. Kita harus memilih pakaian yang sederhana, sopan, yang sesuai bagi orang yang mengaku diri sebagai penyembah Tuhan, dan yang mencerminkan “fikiran yang sihat.” (1 Tim. 2:9, 10) Maka kita tidak mahu pakaian kita menarik terlalu banyak perhatian. Prinsip Bible juga membantu para penatua agar tidak membuat peraturan sendiri tentang pakaian dan gaya rambut. w23.07 23-24 ¶13-14
Sabtu, 15 November
Dengarlah firman-Ku dengan teliti, maka kamu akan makan hidangan yang baik dan menikmati makanan yang paling bermutu.—Yes. 55:2.
Yehuwa mengajar kita cara meraih berkat pada masa depan. Orang yang menyahut jemputan “wanita yang bodoh” dan bising itu suka memuaskan nafsu dosa secara tersembunyi. Biarpun perbuatan itu terasa “manis,” akhirnya mereka berada “di dasar Kuburan.” (Ams. 9:13, 17, 18) Namun, orang yang menyahut jemputan “kebijaksanaan sejati” menikmati hidup yang berbeza! (Ams. 9:1) Kita belajar mencintai apa yang dicintai Yehuwa, dan membenci apa yang dibenci-Nya. (Mzm. 97:10) Kita juga puas kerana menjemput orang lain untuk belajar daripada “kebijaksanaan sejati.” Kita seperti “berseru di tempat-tempat yang tinggi di kota, ‘Hai orang yang kurang pengalaman, datanglah ke mari!’” Pada masa depan, semua orang yang menyahut jemputan ini akan meraih manfaat berkekalan. Dengan terus mengikut “haluan orang yang mempunyai pemahaman,” kita akan “hidup” selamanya.—Ams. 9:3, 4, 6. w23.06 24-25 ¶17-18
Ahad, 16 November
Orang yang lambat marah lebih baik daripada orang yang perkasa, dan orang yang mengawal kemarahannya lebih baik daripada orang yang menawan sebuah kota.—Ams. 16:32.
Apabila rakan sekerja atau rakan sekolah menanya tentang kepercayaan kita, banyak antara kita pasti gementar. Tetapi soalan mereka dapat membantu kita faham fikiran dan kepercayaan mereka. Jadi, kita dapat mengongsi berita baik kepada mereka. Namun, seseorang mungkin tanya soalan dengan kasar. Hal itu tidak menghairankan kerana ada yang salah faham tentang kepercayaan kita. (Kis. 28:22) Lagipun, kita hidup pada “hari-hari terakhir,” dan banyak orang “tidak mahu dibawa berbincang” dan bahkan bersikap “garang.” (2 Tim. 3:1, 3) Anda mungkin terfikir, “Apakah yang dapat membantu saya menjawab dengan baik hati semasa orang mempersoalkan kepercayaan saya?” Jawapannya: Sifat lemah lembut. Orang yang lemah lembut tidak cepat naik marah, tetapi dapat mengawal diri semasa geram atau tidak tahu apa yang harus dikatakan. w23.09 14 ¶1-2